BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Kak Sayang Abah

Lilypie Angel and Memorial tickers

Wednesday, October 14, 2009

Falsafah Pendidikan Diri


Bagi diri ini, falsafah pendidikan yang ingin saya terapkan ke dalam diri saya dan yang akan saya gunakan apabila mengajar kelak ialah sentiasa menjadi seorang guru yang baik dan dihormati oleh para pelajar. Saya percaya apabila seorang guru baik dan sentiasa menghormati pelajarnya INSYAALLAH para pelajar juga akan menghormati dan baik kepada guru tersebut.

Di samping itu juga saya akan menjadi seorang guru yang tegas kepada pelajar- pelajar, tegas di sini bukanlah bermaksud garang dan sentiasa memarahi pelajar-pelajar tetapi tegas sewaktu mengajar dan dalam masa yang sama menggunakan gaya pengajaran yang mudah diterima oleh pelajar agar pelajar tidak main-main ketika di dalam kelas dan dapat menerima apa yang diajar dengan mudah kerana tiada tekanan diberikan.

Saya juga akan menerapkan disiplin yang baik kepada para pelajar saya terutamanya berkaitan dengan masa. Saya akan memastikan mereka menggunakan masa dengan sebaik mungkin kerana masa itu emas. Pengurusan masa sangat penting bagi seorang pelajar kerana apabila mereka dapat menguruskan masa dengan baik ini bererti mereka dapat menguruskan pelajaran mereka dengan sebaik mungkin.

Saya akan sentiasa menambahkan pengetahuan dengan pelbagai maklumat bukan sahaja tentang subjek yang saya ajar malah mengenai pengetahuan am yang berkaitan, hal ini kerana pelajar zaman sekarang lebih berfikiran jauh malah ada juga yang lebih bijak dari gurunya. Saya akan sentiasa mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu apabila masuk ke kelas agar apabila para pelajar menyoal sesuatu saya dapat menjawab dengan baik dan tidak gelabah. Apabila kita dapat menjawab sesuatu dengan yakin, saya percaya pelajar akan lebih menghormati kita dan yakin dengan kerjaya kita sebagai seorang guru tanpa mempersoalkannya.

Kerjaya seorang guru bukanlah sesuatu kerjaya yang mudah kerana kerjaya ini melibatkan masa depan anak bangsa. Jadi saya akan sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa agar dapat menjadi seorang guru bitara dan seorang guru yang bertanggungjawab serta sentiasa menjadikan Falsafah Pendidikan Guru, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Sains Kebangsaan sebagai panduan ke arah menjadi guru yang cemerlang kepada pelajar-pelajar yang bakal menjadi harapan negara.

Ingin saya kongsikan di sini sebuah puisi nukilan Allahyarham Dato' Dr Usman Awang mengenai guru...Dari dulu hinggalah sekarang saya amat menyukai puisi ini...


Guru Oh Guru ..................
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

0 comments: